Sunday, July 30, 2006

Kefahaman mengenai pemuliharaan alam sekitar

http://www.islamhadhari.net/v2/seminar/seminar_detail.php?nkid=4

Kefahaman mengenai pemuliharaan alam sekitar: Satu Tinjauan.
Oleh Abu Bakar Yang Tempat : Dewan Besar, IKIM Tarikh : 22-23/03/2005 

Pendahuluan

Suatu seminar yang bertajuk Seminar Islam Hadhari "Kefahaman Mengenai Pemuliharaan Alam Sekitar" telah diadakan di Dewan Besar, IKIM. Diantara kertas kerja
yang agak menarik ialah daripada En. Abu Bakar Yang Dalam kertas kerja yang bertajuk "Pendidikan Alam Sekitar Di Malaysia Dari Perspektif Islam". En Abu
Bakar telah memperkatakan tentang masalah alam sekitar. Menurut beliau, masalah alam sekitar seperti pencemaran, penebangan hutan, pengurangan sumber bumi
dan sebagainya telah lama mengakibatnya hilangnya keseimbangan pada alam, sehingga permasalahan ini sering menjadi perbincangan hangat di segenap lapisan
masyarakat dunia. Sesungguhnya krisis ini telah menjadi begitu parah sehingga setiap kerajaan di dunia ini telah berusaha mengambil tindakan bagi menanganinya.


Hakikatnya, alam sekitar dan permasalahannya telah melahirkan bidang ilmu dan pokok perbahasannya yang tersendiri dan berusaha mencari metod penyelesaian
yang paling berhikmah.

Dalam hal ini, apakah pandangan Islam terhadap permasalahan alam sekitar?. Adakah Islam mempunyai jalan penyelesaian terhadap kemelut yang berterusan ini?,
dan adakah Islam mempunyai satu garis panduan yang boleh diikuti dalam hubungan manusia dengan alam sekitar?.

Tambah beliau lagi, kertas kerja ini cuba memberi sedikit gambaran tentang bagaimana dasar-dasar normatif yang terdapat dalam Islam boleh dijadikan garis
panduan berinteraksi antara manusia dan alam sekitarnya. Di samping itu, dasar-dasar normatif ini sebenarnya merupakan pendidikan asas seorang Muslim yang
mampu menjadikannya seorang yang prihatin terhadap isu-isu yang berkaitan dengan alam sekitar dan berinteraksi dengannya menerusi pendekatan-pendekatan
yang selamat.

A. DASAR-DASAR NORMATIF ISLAM DAN PENDIDIKAN UMMAH KE ARAH PEMULIHARAAN ALAM SEKITAR

Kebelakangan ini terdapat salah faham di kalangan umat Islam yang tidak mendalami ilmu dan peradaban Islam dengan beranggapan bahawa permasalahan dan isu-isu
yang berkaitan dengan alam sekitar adalah perkara yang tiada kaitannya dengan ajaran Islam. Mereka beranggapan pemuliharaan alam sekitar dan hal-hal yang
berkaitan dengannya tidak termasuk dalam ruang lingkup Islam, malah ianya hanya layak diperjuangkan oleh dunia Barat sahaja.

Namun beliau menegaskan bahawa, hakikat sebenarnya ialah segala hal yang berkaitan dengan pemuliharaan alam sekitar dan pelestariannya sangat berkait rapat
dengan ilmu-ilmu Islam yang asas dan ia sangat wajar untuk dipupuk semula ke dalam jiwa masyarakat Islam terutamanya menerusi pendidikan. Ilmu-ilmu Islam
dasar tersebut ialah:

1. Kefahaman dan Pendidikan Alam Sekitar Serta Kaitannya Dengan llmu Usuluddin
2. Kefahaman dan Pendidikan Alam Sekitar Serta Kaitannya Dengan llmu Etika
3. Kefahaman dan Pendidikan Alam Sekitar Serta Kaitannya Dengan llmu Fikh(AI Isra' : 44)
4. Kefahaman dan Pendidikan Alam Sekitar Serta Kaitannya Dengan Ilmu Usul Fikh
(maqasid syari 'ah)
5. Kefahaman dan Pendidikan Alam Sekitar Serta Kaitannya Dengan Ilmu Al Quran dan Sunnah"

1.0 Kefahaman dan Pendidikan Alam Sekitar Serta Kaitannya Dengan Ilmu Usuluddin

Berbicara mengenai perkara ini, Ilmu Usuluddin (Ilmu Tauhid) mempunyai hubungan yang erat dengan hal-hal yang berkaitan dengan pemuliharaan alam sekitar
dan semua elemen yang berada di dalamnya, sama ada makhluk yang hidup ataupun yang mati, yang berakal ataupun tidak. Semua elemen ini merupakan petunjuk
yang nyata akan wujudnya Allah yang Maha Pencipta, dan sekalian makhluk sebagai yang dicipta untuk tunduk patuh, sujud kepadaNya dan menyucikanNya dengan
segala pujian.

Sesungguhnya Allah telah menciptakan segala yang di langit dan di bumi untuk mentaati perintahNya dan patuh terhadap segala hukum dan ketentuanNya, sebagaimana
firman Allah di dalam Al Quran:

?Dan apakah mereka tidak memerhatikan segala sesuatu yang telah diciptakan Allah yang bayangannya berbolak-balik ke kanan dan ke kiri dalam keadaan sujud
kepada Allah, sedang mereka merendah diri. Dan kepada Allah sahajalah bersujud segala apa yang ada di langit dan semua makhluk yang melata di bumi dan
(juga) para malaikat, sedang mereka (malaikat) tidak menyombongkan diri.?
(An Nahl : 48-49)

Firman Allah s.w.t. lagi:

?Langit yang tujuh,bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tidak ada suatu pun melainkan bertasbih dengan memujiNya, tetapi kamu
sekalian tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyantun lagi Maha Pengampun?
( Al Isra? : 44)

Proses penciptaan selanjutnya Allah membezakan manusia dari seluruh elemen alam yang lain dengan memberikannya akal dan kemampuan kerohanian, yang kemudiannya
anugerah ini digunakan untuk melaksanakan tugasnya sebagai wakil Allah (khalifah) di mukabumi dan sekaligus membawa beban amanah untuk disempurnakan, sebagaimana
firman Allah:

?Sesungguhnya Kami menawarkan amanah kepada langit, bumi dan gunung-ganang,maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka bimbang akan mengkhianatinya,
dan dipikullah amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan jahil.?
(AI Abzab :72)

Dalam ayat lain Allah berfirman:

?Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, 'Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di mukabumi.' Mereka berkata, 'Mengapa Engkau
hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan 'memuji
Engkau dan mensucikan Engkau. ' Tuhan berfirman, 'Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.?? (AL Baqarah : 30)

1.1 Memahami Peranan Manusia Terhadap Alam Sekitar

Pembentang mengingatkan betapa sesungguhnya, manusia memiliki peranan yang amat penting dalam memelihara dan memulihara alam sekitar. Setelah segala unsur
yang berada di sekelilingnya ditundukkan kepadanya, maka tahap selanjutnya manusia dituntut untuk berinteraksi dengan alam sekitarnya menurut wasilah yang
telah digariskan oleh Allah s.w.t.

Peranan manusia tadi adalah semulia-mulia tanggungjawab yang dipikulkan ke atas setiap Muslim, dan tanggungjawab ini boleh dibahagikan kepada tiga tujuan
yang utama.

Tujuan Pertama: Untuk mengabdikan diri kepada Allah sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah di dalam al Quran:

"Dan tidakAku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembahKu"
(Az Dzariyat : 56)

Ibadah ini meliputi segala sesuatu yang diperintahkan oleh Allah baik berupa perkataan ataupun perbuatan. Maka dalam konteks ini, bentuk ibadah itu mencakupi
segala aspek kehidupan.

Tujuan Kedua: Sebagai wakil (Khalifah) Allah di atas mukabumi,sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah dalam al Quran:

?Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di mukabumi...? (Al-Baqarah : 30)

Agar tanggungjawab kekhalifahan ini dapat disempurnakan dengan baik maka manusia dituntut untuk menegakkan kebenaran dan keadilan, serta menyebar luaskan
kebaikan dan kebajikan. Sepertimana firman Allah s.w.t. kepada Nabi Daud a.s. :

?Hai Daud!Sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di mukabumi,maka berilah keputusan di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti
hawa nafsu kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat kerana
mereka melupakan Hari Perhitungan.?
(As Saad : 26)

Tujuan Ketiga: Untuk membangunkan peradaban di mukabumi. Hal ini telah dinyatakan oleh Allah s.w.t. di dalam al Quran:

"Dia menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan menjadikan pemakmurnya"
(Hud:61)

Menurut beliau, pengertian yang dapat difahami sebagai pemakmurnya di sini ialah manusia sebagai makhluk yang membangunkan bumi menerusi usaha-usaha seperti
aktiviti pertanian, perindustrian, memperbaiki taraf hidup serta menghindarkan diri dan bumi dari perkara?-perkara yang boleh merosakkannya. Membangunkan
bumi dan mengindarkannya dari kerosakan adalah juga tanggungjawab kekhalifahan.

Tambah beliau lagi, sekiranya tanggungjawab khalifah ini disempurnakan dengan sebaik-baiknya dengan memenuhi segala syarat-syaratnya, maka Allah menjanjikan
akan manfaat dan keberkahan hidup kepada manusia, sebagaimana firman Allah di dalam al Quran:

?Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi.?
(AI A'raaf: 96)

2.0 Kefahaman dan Pendidikan Alam Sekitar Serta Kaitannya Dengan ilmu Etika (Akhlak)

Di sampimg itu, pembentang juga positif betapa ilmu etika atau akhlak (tasawuf) adalah satu bidang ilmu yang sangat berkait rapat dengan alam sekitar kerana
ia merupakan salah satu rukun tasawuf. Sebagaimana definisi oleh golongan tasawuf bahawa 'Kejujuran beserta kebenaran, dan etika (akhlak) beserta ciptaan?,
sudah pasti bahawa alam sekitar adalah sebahagian daripada ciptaan yang dinyatakan tersebut.

Orang-orang di kalangan ahli sufi ada menyatakan bahawa, "Semua dimensi dalam tasawuf adalah etika (akhlak), maka barangsiapa yang bertambah etikanya (akhlaknya)
nescaya bertambahlah tasawufnya." Imam Ibnul Qayyim juga ada menegaskan bahawa, "Semua isi agama adalah etika (akhlak), dan barangsiapa yang bertambah
etikanya, bertambahlah agamanya."

Beliau sempat memetik kata-kata Al Kattani yang mengatakan bahawa, ?Tasawuf adalah etika (akhlak), barangsiapa bertambah etikanya (akhlaknya), bertambahlah
tasawufnya.?. Di dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. juga ada menyatakan bahawa, ?Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak (etika) yang
mulia?

Allah s.w.t. juga telah berfirman di dalam al Quran:

?Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa, dan orang-orang yang berbuat kebaikan.?
(An Nahl: 128)

Berdasarkan kepada ayat di atas beliau menyimpulkan bahawa, agama adalah kumpulan dari perintah untuk beriman dan bertaqwa kepada Allah dan berbuat baik
kepada sesama makhluk. Bertaqwa dan melakukan kebaikan adalah landasan utama untuk seseorang itu terus berada pada jalan / agama Allah. Oleh hal yang demikian,
tuntutan ini harus dilaksanakan pada setiap waktu dan keadaan serta kepada setiap makhluk yang ada di alam ini. Dengan itu melakukan kebaikan terhadap
alam sekitar yang menjadi elemen utama alam ini adalah sebahagian daripada tuntutan untuk menjadi hamba yang bertaqwa dan diredhai Allah.

Berkaitan dengan perintah Allah untuk berbuat baik, banyak arahan yang menyuruh manusia untuk berbuat baik kepada segala sesuatu termasuklah sesame manusia,
binatang, tumbuh-tumbuhan, udara, air, tanah da sebagainya, seperti yang diungkapkan oleh sebuah hadis, ?Bahawa Allah telah mewajibkan untuk berbuat baik
terhadap segala sesuatu.? Di antara perbuatan baik itu adalah berbuat baik kepada Allah sebagaimana yang diungkapkan dalam hadis Jibril, ?Ihsan itu adalah
kamu beribadah pada Allah seakan-?akan kamu melihatNya, dan apabila kamu tidak dapat melihatNya, maka sesungguhnya Dia melihatmu.? .

2.1 Mendidik Supaya Bertanggungjawab dan Cinta Terhadap Alam Sekitar

Beliau ada menyebut bahawa pendidikan merupakan satu prinsip yang indah yang dianjurkan oleh Islam dalam memastikan manisia memelihara hak alam sekitar
seadanya sebagai makhluk ciptaan Illahi sebagaimana firman Allah:

?Dan tiadalah binatang-binatang yang ada di bumi dan burung-burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan umat-umat (juga) seperti kamu.?
(Al An'am : 38)

Begitu juga seluruh bahagian alam yang kelihatannya mati harus pula dilihat bahawa mereka sebenarnya dalam keadaan beribadah/sujud dan patuh kepada Allah,
sebagaimana dengan FirmanNya:

?Apakah kamu tiada mengetahui bahawa kepada Allah bersujud apa yang ada di langit, di bumi, matahari, bulan, bintang, gunung, pohon-pohonan, binatang-binatang
melata, dan sebahagian besar manusia dan banyak di antara manusia yang telah ditetapkan azab atasnya. Dan barangsiapa yang dihinakan Allah, maka tidak
seorang pun yang memuliakannya. Sesungguhnya Allah berbuat apa yang Dia kehendaki.?
(AI Hajj: 18)

Tidak hairanlah jika usaha memelihara alam sekitar dapat melahirkan perasaan insaf di kalangan orang-orang yang bersujud dan mensucikan Allah dengan perasaan
kasih sayang, kerana alam ini juga dalam keadaan bersujud kepada Allah.

2.2 Memahami Hubungan Muslim Dengan Alam Sekitar

Bagi seorang Muslim alam ini adalah tanda, iaitu melihat alam ini sebagai tanda kebesaran Allah yang menciptakan segala sesuatu dengan segala KekuasaaNya.
Sebagaimana firman Allah :

?Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal.?
(Ali Imran: 190)

Firman Allah lagi:

"Sucikanlah nama Tuhanmu yang Paling Tinggi, yang menciptakan, dan menyempurnakan (penciptaanNya) dan yang menentukan kadar (masing-masing) dan memberi
petunjuk.?
(Al A'la: 1-3)

Ayat ini dengan jelas menunjukkan dalil yang kukuh akan Kebesaran dan Kekuasaan Allah yang menuntut manusia terutama Muslim mengambil iktibar tentang tanggungjawab
terhadap alam sekitar melalui pemikiran yang kritis dan renungan yang mendalam.

2.3 Mensyukuri Bahawa Alam Itu Nikmat Anugerah Allah

Pembentang menyeru agar setiap muslim memandang alam ini sebagai satu nikmat anugerah Allah padanya, sebagaimana Firman Allah :

?Tidakkah kamu perhatikan sesungguhnya Allah telah menundukkan untukmu apa yang, di langit dan apa yang di bumi dan menyempurnakan untukmu nikmatNya lahir
dan batin. Dan di antara manusia ada yang membantah tentang KeEsaan Allah tanpa ilmu pengetahuan dan petunjuk dan tanpa kitab yang memberi penerangan.?
(Luqman : 20)

Berbeza dengan pandangan Barat yang beranggapan bahawa antara punca yang menyebabkan berlakunya kerosakan alam sekitar ialah bertambahnya jumlah penduduk
dunia dan permintaan terhadap sumber alam semakin meningkat, maka beliau membidas kenyataan dengan menyatakan di dalam Quran menyebut bahawa nikmat Allah
Taala itu tidak terhingga banyaknya. Namun, akibat kerakusan dan kezaliman manusia itu sendiri yang tidak mempunyai timbang rasa menjadikan alam sekitar
sebagai mangsa yang kononnya sebagai tuntutan pembangunan. Menurut beliau kagi, kenyataan ini amat tidak boleh diterima pakai.

3.0 Kefahaman dan Pendidikan Alam Sekitar Serta Kaitannya Dengan Ilmu Fikh.

Berbicara mengenai hubungkait isu alam sekitar ini dan ilmu fikh, suka beliau menyatakan ilmu ini bertindak dalam mengatur hubungan manusia dengan tuhannya,
dirinya, keluarganya, masyarakatnya dan termasuk alam sekitarnya yang disesuaikan dengan lima hukum-hukum syariat yang telah dikenali umum, iaitu, wajib,
sunat, haram, makruh dan mubah (harus).

Tambahnya lagi sekiranya kita membuka kitab fikh, antara perbahasan pertama yang dinyatakan ialah yang berkaitan dengan Thaharah (perbahasan mengenai tatacara
bersuci), yang terdapat padanya pembahagian najis, cara-cara mensucikannya serta pembahagian mengenai jenis-jenis air yang terdapat di alam ini yang boleh
digunakan untuk tujuan thaharah. Begitu juga dengan perbahasan-perbahasan fikh yang berkaitan dengan solat dan hukum?-hukumnya, zakat dan pembahagiannya,
puasa dan ketentuan-ketentuannya, haji, sedeqah, dan sebagainya. Semua ini berkaitan dengan interaksi sesama manusia, makhluk-makhluk lain termasuk alam
sekitarnya.

Oleh hal yang demikian, dengan pelbagai kaedah yang telah sedia ada, Islam mampu untuk menangani permasalaha ini terutamanya terhadap mereka yang sering
melakukan kesalahan atau kerosakan terhadap alam sekitar yang kebiasannya dilakukan oleh industri-industri besar yang tidak prihatin dengan implikasi negatif
yang menimpa masyarakat.

4.0 Kefahaman dan Pendidikan Alam Sekitar Serta Kaitannya Dengan IImu Usul Fikh (maqasid syari'ah)

Menurut beliau lagi, Islam mendidik umatnya supaya memahami bahawa pemuliharaan alam sekitar tidak hanya dibahas dalam ilmu fikh sahaja, tetapi juga turut
dibahas dalam usul fikh, terutamanya dalam tujuan-tujuan syariat (maqasid syariah). Tujuan ditegakkan syariat itu sendiri adalah untuk menjaga agama, diri
(nyawa), keturunan, akal dan harta benda. Syariat-syariat itulah yang kemudiannya dinamakan dengan ?al dharurah al khamsa? yang membawa erti lima kemaslahatan
dasar yang menjadi asas tegaknya kehidupan manusia. Lima perkara tersebut kemudiannya dijadikan rujukan terhadap keperluan-keperluan asas, yang mana manusia
tidak mampu hidup dengan sempurna tanpa lima perkara ini. Apabila kita melihat dengan lebih mendalam kita akan dapati bahawa hal-hal yang berkaitan dengan
pemeliharaan dan pelestarian alam sekitar terkandung di dalam kelima-lima maslahat asas di atas.

4.1 Memahami Bahawa Menjaga Alam Sekitar Sama Seperti Menjaga Agama

Tidak cukup dengan itu beliau menegaskan, sebagai seorang Muslim kita perlu memahami betapa kepentingan kita memelihara dan memulihara alam sekitar itu
adalah sama besar dengan tanggungjawab kita memelihara kepentingan agama kita. Lantas perbuatan menodai alam sekitar merupakan tindakan yang sama sekali
melanggar etika manusia dengan alam sekitar seperti yang didgariskan oleh Allah Taala.

Perbuatan merosakkan alam sekitar adalah sama seperti menafikan sikap adil dan ihsan, sedangkan kedua-dua sikap ini merupakan perintah Allah yang perlu
dilaksanakan, sebagaimana firman Allah di dalam al Quran:

?Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan berbuat kebajikan (ihsan), memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemunkaran
dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.?
(An Nahl : 90)

Menurut beliau lagi, menusia yang bertindak selaku khalifah di muka bumi wajib memikul tanggungjawab dalam memastikan alam sekitar ini tidak sekali-kali
diancam kerosakan dan penyelewengan yang berpunca dari kerakusan dan kezaliman manusia itu sendiri.

Selain itu, penyelewengan terhadap alam sekitar juga membawa erti menodai perintah Allah untuk membangunkan bumi, memperbaiki bumi serta melarang dari sebarang
perbuatan merosakkannya, sebagaimana firman Allah:

?Dan janganlah kamu membuat kerosakan di mukabumi setelah Allah memperbaikinya, dan berdoalah kepadaNya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan
(akan dimakbulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik.?
(AI A'raaf: 56)

4.2 Memahami Bahawa Menjaga Alam Sekitar Sama Seperti Menjaga Jiwa (Nyawa)

Pembentang juga menyatakan betapa kewajipan kita memastikan alam sekitar sentiasa bebas dari sebarang ancaman adalah seperti kewajipan kita memelihara kesejahteraan
jiwa secara psikologi yang juga dituntut oleh alam sekitar. Sepertimana firman Allah:

?Barangsiapa yang membunuh seorang manusia, dan membuat kerosakan di mukabumi,maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan barangsiapa yang
memelihara kehidupan manusia, maka seakan-akan dia telah memelihara kehidupan ", manusia seluruhnya.?
(AI Maidah : 32)

4.3 Memahami Bahawa Menjaga Alam Sekitar Sama Seperti Menjaga Keturunan

Pembentang juga ada menyamakan tanggungjawab manusia dalam memelihara alam sekitar itu dengan tanggungjawab manusia dalam memelihara kesejahteraan keturunan
kita. Betapa pentingnya kemuliaan keturunan itu, begitulah kemuliaan alam sekitar itu harus terus dipelihara dengan penuh berhikmah.

Sekiranya golongan ibubapa dan orang tua bertanggungjawab, terhadap pendidikan, kesihatan, moral dan akhlak generasi yang akan datang, maka begitulah juga
mereka bertanggungjawab terhadap gejala-gejala yang boleh merosakkan alam sekitar yang akan datang, maka begitulah juga mereka bertanggungjawab terhadap
gejala-gejala yang boleh merosakkan alam sekitar yang akan menjadi penyebab kepada rosaknya kehidupan keturunan masa depan. Hal ini telah dinyatakan oleh
Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadisnya:

?Tiap-tiap kamu adalah pemimpin, dan kamu semua bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin. Seorang lelaki pemimpin di rumahnya, dan dia bertanggungjawab
terhadap apa yang dipimpinnya.?
(AI Bukhari dan Muslim)

4.4 Memahami Bahawa Menjaga Alam Sekitar Sama Seperti Menjaga Akal

Selain itu, kemaslahatan menjaga alam sekitar sama seperti menjaga akal ini merupakan landasan ke arah kesempurnaan taklif dalam Islam. Maka barangsiapa
yang tidak mempunyai akal , maka tidak ada beban yang wajib ditanggungnya, dan segala amal perbuatannya tidak akan ditulis dalam kitab amalan.

Memelihara alam sekitar dalam erti kata yang luas juga mengandungi makna menjaga manusia dengan seluruh unsur penciptaannya, jasmani, jiwa dan akal. Oleh
itu segala usaha menjaga kelangsungan hidup manusia tidak akan bermakna, sekiranya akalnya tidak dijaga. Al Quran banyak membuat analogi dengan berulangkali
menyatakan ungakapan-ungkapan seperti ?Apakah kamu tidak memikirkan,? ?'terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal,? ?Apakah kamu tidak mahu mengambil
pelajaran? dan banyak lagi ungkapan yang menyarankan agar kita menggunakan akal untuk berfikir dan mengambil iktibar.

Maka dengan dasar ini, barangsiapa yang memelihara alam sekitar, samalah juga halnya dengan. menjaga keseimbangan berfikir, keseimbangan antara hari ini
dan hari akan datang, antara yang mendatangkan manfaat dengan yang merosakkan, antara kewajiban dan kenikmatan, antara kebenaran dan kekuatan. Sebab tidaklah
layak seorang yang telah rosak akalnya diterapkan ke dalam pola interaksi dengan alam sekitar, kerana apabila peranan akal telah dinafikan, maka tidak
akan diketahui dengan jelas mana yang bermanfaat dan mana yang tidak.

4.5 Memahami Bahawa Menjaga Alam Sekitar Sama Seperti Menjaga Harta Benda

Sebagaimana yang diketahui bahawa Allah s.w.t. telah menjadikan harta sebagai bekal untuk kehidupan manusia di bumi, sepertimana yang telah difirmankan:

?Dan janganlah kamu serahkan kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya harta (mereka yang dalam kekuasaanmu) yang dijadikan Allah sebagai keperluan
hidup. Berilah mereka belanja dan pakaian (dari hasil harta itu) dan ucapkanlah kepada mereka kata-kata yang baik. "
(An Nisa? : 5)

Harta itu bukan hanya wang ringgit, emas atau permata sahaja, melainkan harta itu juga merujuk kepada seluruh benda yang menjadi milik manusia, dan segala
macam bentuk usaha untuk memperolehinya juga adalah harta. Maka dengan itu, bumi ini juga adalah harta, pokok dan tanaman adalah harta, binatang ternak
adalah harta, tempat tinggal adalah harta, pakaian adalah harta, dan segala benda keperluan manusia itu juga adalah harta.

Jadi keharusan menjaga alam sekitar adalah juga kewajiban menjaga harta dalam segala bentuk dan jenis yang telah disebutkan di atas. Oleh itu janganlah
sekali-kali melakukan sesuatu yang merugikan dengan mengeksploitasi alam sekitar tanpa tujuan yang munasabah dan tidak bijaksana sehingga hilangnya sumber
harta benda alam ini.

5.0 Kefahaman dan Pendidikan Alam Sekitar Serta Kaitannya Dengan ilmu AI Quran dan Sunnah.

Sebelum ini segala perbincangan yang diketengahkan oleh pembentang seperti perbincangan mengenai ilmu syariat, bermula dengan ilmu usuluddin, ilmu etika
(akhlak), dan usul fikh, semuanya bersumberkan al Quran dan Sunnah , yang merupakan rujukan paling utama. Ini adalah kerana segala hukum, kaedah-kaedah
yang dikeluarkan, serta kesimpulan yang dibuat tidak akan diterima sekiranya tidak disandarkan kepada al Quran dan Sunnah.

Sesungguhnya al Quran juga memberikan perhatian yang sangat besar kepada alam sekitar sama ada secara langsung ataupun tidak. Diterangkan kepada kita bagaimana
Allah telah menciptakan alam ini dengan sebaik-baiknya dengan firmanNya:

?Dialah yang membuat segala sesuatu dengan ciptaan yang sebaik-baiknya.?
(As Sajdah : 7)

Dalam ayat yang lain pula Allah nyatakan:

?Kamu sekali-kali tidak akan melihat pada ciptaan Tuhan Yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang.?
(AI Mulk : 3)

Selain itu juga dalil-dalil al Quran yang memberikan perhatian terhadap alam sekitar dapat dilihat pada nama-nama surah dalam al Quran yang memakai nama-nama
serangga, haiwan, tumbuh-tumbuhan serta nama-nama alam yang lainnya.

Contoh yang jelas dari surah-surah tersebut ialah seperti al Baqarah (lembu betina), an An'aam (binatang ternakan), an Nahl (lebah), an Naml (Semut), al
Ankabut (labah?-labah), al Fiil (gajah) dan al Aadiyaat (kuda).

Dalil-dalil inilah yang kemudiannya menjadikan kaum musyrikin dan Yahudi berasa hairan dan tertanya-tanya sehingga mereka berkata, "Kemampuan apakah yang
dimiliki oleh lalat dan labah-Iabah, sehingga Allah mengambil contoh dari haiwan-haiwan tersebut??

Allah lalu menepelak pertanyaan mereka dengan firmanNya:

?Sesungguhnya Allah tiada segan membuat perumpamaan berupa nyamuk atau yang lebih rendah dari itu.?
(AI Baqarah : 26)

Seterusnya kita akan bertemu dalam al Quran surah at Tiin, nama sejenis tumbuhan, al Hadid, nama sejenis logam, ar Raad, salah satu fenomena kejadian alam,
az Dzaariat, al Najm, al Fajr, Asy Sham, al Lail, ad Dhuha, al Ashr, at Thuur, al Balad, yang kesemuanya merupakan nama-nama yang di ambil dari kejadian
alam.

Menurut beliau penggunaan nama-nama berkenaan dalam al Quran mempunyai maksud-maksud yang tertentu, antaranya menimbulkan keprihatian dan kesedaran manusia
terhadap perkara-perkara tersebut agar manusia sentiasa memberikan perhatian yang serius terhadap alam sekitar, sentiasa melestarikannya dan bertanggungjawab
menghindarkannya dari kerosakan dan pencemaran.

B. STRATEGI PENDIDIKAN ISLAM DALAM MEMELIHARA ALAM SEKITAR

Islam memiliki strategi yang cukup berkesan dalam memelihara, mengembangkan dan memperbaiki alam sekitar serta menawarkan penyelesaian bagi pelbagai penyelewengan
dan pencemaran alam sekitar.

Semua strategi itu bersangkut paut dengan peranan manusia terhadap alam sekitar. Dalam erti kata lain, bahawa semua alam sekitar dan sekelilingnya yang
terdiri dari matahari dan bulan, siang dan malam, lautan dan gurun, merupakan anugerah Allah yang tidak boleh disia-siakan. Pada dasarnya masalah yang
timbul adalah berpunca dari pola interaksi dan perbuatan-perbuatan manusia alam sekitar itu sendiri.

Sebab itulah, apabila kita mendidik dan memperbaiki manusia, maka itu bererti kita memelihara dan memperbaiki semua kehidupan dan persekitarannya. Manusia
akan menjadi baik dari dalam batinnya bukan dari zahirnya, dari dalam dirinya dan bukan dari kulitnya. Konsep ini telah menjadi ketetapan yang telah dirumuskan
oleh AI-Quran ketika mengatakan:

?Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan suatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.?
(Al-Ra'ad: 11)

Tegasnya, setiap jiwa hanya akan hidup dan sedar sekiranya diisi dengan iman kerana ia adalah jalan menuju kesejahteraan dan sumber keselamatan.

Strategi pendidikan Islam tersebut adalah seperti berikut :

pendidikan agama bagi generasi muda
pemupukan nilai-nilai Islam pada generasi muda
mengawasi masyarakat menerusi amal amar makruf nahi mungkar
penguatkuasaan undang-undang
kerjasama di peringkat nasional dan antarabangsa

1.0 Pendidikan Agama Bagi Generasi Muda

Pertama, melalui saluran pendidikan dan pengajaran. Khususnya bagi para generasi muda dari tingkat taman kanak-kanak, sekolah rendah dan menengah hingga
universiti.

Bahan pengajian yang perlu ditekankan adalah perihal penanaman dan penyuburan keprihatinan dan penjagaan terhadap alam sekitar serta pola interaksi yang
baik sesuai dengan perintah Allah, sebagaimana Dia mengharuskan kita untuk berbuat baik terhadap segala sesuatu.Tentang perintah ini telah diungkapkan
dalam sebuah hadith, ?Sesungguhnya Allah mewajibkan untuk berbuat baik (ihsan) terhadap segala sesuatu.?

Menerusi perbuatan adil dan ihsan, manusia dapat mengambil berbagai manfaat dari alam sekitar tanpa terjebak keinginan menguasai serta tindakan yang berlebih-lebihan.
Demikianlah seharusnya sikap seorang hamba yang pengasih, sebagaimana termaktub dalam al-Quran:

?Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta) mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak (pula) kikir dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah
antara yang demikian.?
(AI-Furqan : 67)

Maka dengan bersyukur akan nikmat yang selayaknya dimiliki oleh setiap mukmin inilah yang dapat menjaga, memperkaya dan melestarikan alam sekitar. Untuk
itu sebaiknya setiap mukmin mengungkapkan kalimat-kalimat yang seringkali diungkap oleh Nabi Sulaiman.

?Ini termasuk kurniaan Tuhanku untuk mencuba aku apakah aku bersyukur atau mengingkari (akan nikmat-Nya). Dan barangsiapa yang bersyukur, maka sesungguhnya
dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri. Dan barangsiapa yang ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia.?
(AI-Naml : 40)

Beliau berpendapat, selayaknya mereka dididik untuk berinteraksi dengan alam sekitar serta semua komponennya berdasarkan takwa pada Allah, selalu merasa
dalam pengawasan-Nya, bahawa Dia tidak akan membezakan antara laki-laki mahupun perempuan, dan Dia akan memberi hukuman pada mereka yang berbuat kerosakan
serta memberi pahala bagi yang membuat kebaikan.

Pemahaman-pemahaman inilah yang harus kita tanamkan dalam fikiran dan hati nurani anak-anak kita semenjak mereka masih kecil. Kerana sesungguhnya, pengajaran
yang dimulai sejak kecil sama seperti mengukir di atas batu. Jangkamasa inilah yang akan membentuk kebiasaan mereka untuk melahirkan sifat-sifat yang baik
ataupun sebaliknya.

Maka sudah sepatutnya, ilmu tentang alam sekitar, pemeliharaan, perlindungan dan penjagaannya dimasukkan dalam kurikulum pendidikan dengan kadar yang lebih
layak, dengan paparan yang seimbang terhadap umur pelajar dan ilmu pengetahuan mereka. Serta motivasi yang boleh mendorong mereka ke arah visi budaya ini
serta tuntutan dari agama sebagai asas awal yang memberi pengaruh terhadap kehidupan manusia secara umum dan Muslim secara khusus.

2.0 Pemupukan Nilai-Nilai Islam Pada Generasi Muda

Kemudian, pembentangan menyatakan saranan yang kedua adalah usaha-usaha kesedaran dan pencerdasan bagi generasi muda dan masyarakat secara umum. Usaha ini
boleh direalisasikan melalui persatuan?-persatuan belia, NGOs, badan-badan berkanun dan sebagainya yang selalu bekerja atas dasar perkembangan pemikiran,
kecenderungan (bakat), akal dan kejiwaan mereka. Usaha ini bukan sahaja penting untuk membaiki pemahaman-pemahaman yang salah terhadap agama dan alam sekitar,
malah ia juga berperanan untuk memberi penerangan-?penerangan yang bijak dan terarah iaitu saranan yang mengarah pada rekonstruksi dan perbaikan, bukan
saranan dekonstruksi yang merosak. Setelah itu, baru boleh diwujudkan gambaran baru tentang alam sekitar yang bersumber dari pemahaman menurut perspektif
Islam, tentang Tuhan, manusia, alam dan kehidupan. Wawasan seperti inilah yang akan dapat mengubah pemikiran-pemikiran, rasa dan kecenderungan sehingga
membentuk visi seseorang terhadap alam sekitar.

Badan penerangan agama harus dilaksanakan fungsinya dalam rangka kesedaran dan pencerdasan yang bersandar pada al-Qur'an dan sunnah serta petunjuk dari
salafus saleh. Contohnya, pendekatan ini dapat dilaksanakan menerusi khutbah Jumaat serta pengajaran di masjid dan forum-forum keagamaan.

3.0 Mengawasi Masyarakat Menerusi Amalan Amar Makruf Nahi Munkar

Kemudian menurut beliau. saranan yang ketiga adalah mengawasi masyarakat menerusi pelaksanaan amar makruf nahi munkar yang merupakan kelebihan umat ini:

?Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah. Sekiranya
Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. Di antara mereka ada yang beriman tetapi kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.?
(Ali Imran : 110)

Ayat ini merupakan sifat-sifat dasar bagi masyarakat yang beriman - lelaki dan perempuan. Sebagaimana diungkapkan Allah dalam kitab-Nya:

?Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang
makruf mencegah dari yang mungkar, mendirikan solat dan menunaikan zakat. Dan mereka juga taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat
oleh Allah.Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.?
(At-Taubah: 71)

Beliau menjelaskan pelaksanaan amar makruf nahi mungkar ini berupaya untuk melahirkan rasa tanggungjawab terhadap keselamatan alam sekitar dan pelestariannya
hingga apabila melihat sebarang bentuk kerosakan dan, pencemaran terhadapnya maka mereka berkewajipan untuk melarangnya. Mereka inilah yang pada dasarnya,
dituntut untuk mengubah keadaan sesuai dengan kemampuan masing-masing, dengan tangannya apabila mereka mempunyai kekuasaan, dan jika tidak mampu maka dengan
lisannya, dan apabila tidak mampu juga maka dengan hatinya. Yang terakhir ini adalah bentuk pelaksanaan amar makruf pada peringkat terendah.

Menerusi usaha ini diharapkan perlakuan buruk yang merosakkan alam sekitar dapat dibendung hingga ke semua peringkat termasuk dalam kategori usaha ini adalah
dengan mendirikan badan-badan tertentu untuk melestarikan alam sekitar dalam konteks kerjasama dalam kebaikan dan takwa. Badan-badan ini merupakan alternatif
bagi rakyat yang berperanan sebagai pengawas terhadap kelangsungan alam sekitar. Untuk menjadikan badan pengawas ini lebih berkesan, maka ianya perlu didokong
oleh undang-?undang supaya pelaksanaannya lebih efektif.

4.0 Penguatkuasaan Undang-Undang

Saranan beliau yang keempat pula ialah pelaksanaan undang-undang yang wajar dilaksanakan dengan mengenakan hukuman bagi mereka yang melanggar peraturan.
Hal ini diisyaratkan dalam al-Qur'an:

?Sesungguhnya Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata dan telah Kami turunkan bersama mereka al-Kitab dan neraca (keadilan)
supaya manusia dapat melaksanakan keadilan. Dan Kami ciptakan besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan berbagai manfaat bagi manusia.? (Al-Hadid
: 25)

Dari ayat ini, mereka yang tidak boleh diperbaiki dengan kitab dan neraca (keadilan), ia harus diperbaiki dengan besi (kekuatan) yang banyak mengandungi
manfaat bagi manusia. Kemudian dalam hadis sahih dikatakan, ?Tiap-tiap kamu adalah pemimpin dan tiap-tiap kamu bertanggungjawab terhadap yang kamu pimpin,
seorang imam adalah pemimpin dan ia bertanggungjawab terhadap yang dipimpinnya.?
(Muttafaq Alaih)

Sayyidina Uthman bin Affan r.a. pernah berkata, ?Sesungguhnya Allah mengubah dengan kekuatan terhadap mereka yang tidak boleh diubah dengan kitab.?

Maka apabila al-Qur'an dapat merangsang keimanan dan dapat menimbulkan kesedaran, maka kekuatan pula (dalam bentuk penguatkuasaan undang-undang) berperanan
sebagai pengawas bagi mereka yang melanggar batas. Atas sebab itu, perlu dimasukkan kepentingan pemeliharaan alam sekitar dan pelaksanaan hukum bagi mereka
yang melanggar batasan-batasannya, sesuai dengan hukum-hukum yang lazim berlaku dalam masyarakat.

Islam mempunyai nas-nas yang bersifat universal seperti kepentingan bersama (maslahah mursalah), mencegah sebab yang menimbulkan bahaya (addu adz-dzarai),
bahaya harus dicegah menurut kadar kemampuan (adh-dharar yudfa'u biqadri al-imkan), menanggung beban yang lebih ringan (yartakib akhaffu adh-dharararin),
menghindari sesuatu yang berbahaya lebih diutamakan daripada mengambil manfaat (dar'u al-mafasid muqaddam alajalbi al-mashalih), sesuatu yang.tidak dapat
disempurnakan kecuali dengannya, maka hukumnya adalah wajib (mala yatimmu al-wajib illa bihi fahuwa wajib), sesuatu yang membawa pada sesuatu yang haram
maka hukumnya haram (ma adda ila al-haram fahuwa' haram), keadaan darurat membolehkan sesuatu yang dilarang (adh-dharurat tubihu al-mahzhurat), sesuatu
yang dibolehkan dalam keadaan darurat dipenuhi menurut kadar yang sewajarnya (ma ubiha Ii adh-dharurah yuqaddar biqadriha), sesuatu yang didasarkan pada
sesuatu yang batil maka hukumnya batil (mabunia ala batil fahua batil), segala urusan itu harus sejalan dengan tujuan-tujuannya (al-umur bimaqashidiha),
kebiasaan itu boleh menjadi hukum (al-adah muhakkamah), dengan segala sesuatu yang berdekatan boleh ditarik hukumnya secara umum (ma qaraba ast-syai Yu'
khadsu hukmuhu), sesuatu yang jarang terjadi tidak boleh diambil hukumnya (an-nadir la hukma lahu), dan segala sesuatu diambil menurut hukum majoriti (Ii
al-aktsar hukmu al-kul) serta berbagai kaedah lainnya yang kemudian dijadikan dasar bagi pembuatan buku-?buku.

Dengan itu tugas pentadbiran negara adalah melaksanakan tertib pentadbiran, tatacara dan urusan yang melindungi alam sekitar dan memperbaiki yang rosak,
sehinggalah ke tahap pengurusan pencegahan sebagai tindakan preventif. .

Sebagaimana sudah umum diketahui dalam hukum fiqh ada dua jenis hukuman iaitu hukuman yang berdasarkan nas, di mana pelakunya mendapatkan hukuman had dan
hukuman yang berdasarkan ijtihad, di mana pelakunya mendapat hukum ta'zir.

5.0 Kerjasama Pada Peringkat Nasional Dan Antarabangsa

Saranan beliau yang kelima iaitu yang terakhir ialah membangunkan kerjasama dengan badan-badan alam sekitar nasional dan antarabangsa untuk menjaga alam
sekitar serta meyelaraskan segala bentuk tindakan terhadap pencemaran dan kerosakan alam sekitar serta mempertahankan ekosistemnya. Usaha untuk membaikpulih
alam sekitar yang telah parah tercemar merupakan usaha yang perlu dilakukan secara kolektif, tersusun dan sistematik. Dalam kata lain, bersatu melawan
segala bentuk bahaya yang mengancam kehidupan manusia serta melawan segala kepincangan dan memperbaiki kerosakan. Dan InsyaAllah, Dia akan sentiasa menolong
hamba-hamba-Nya yang berbuat kebaikan.

Allah Taala berfirman:

?Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu maka jadikanlah ia sebagai musuh.?
(Fathir : 6)

Inilah antara strategi dan saranan-saranan asas yang disarankan oleh pembentang berlandaskan metod Islami untuk memelihara dan melestarikan alam sekitar.
Islam akan selalu menerima segala macam cara yang ditawarkan manusia dalam bidang ini, asalkan sesuai dengan hukum-hukum dan nilai-nilai Islam kerana apa
saja kebaikan merupakan senjata bagi orang mukmin, dan barangsiapa yang mendapatkannya, maka ia harus melaksanakannya.

C. PENUTUP

Sebagai konklusi, pembentang dapat menyimpulkan bahawa, boleh dikatakan persoalan alam sekitar pada dasarnya adalah persoalan moral dan etika. Penyelesaian
yang paling efektif ternyata bergantung pada moral dan etika manusia iaitu dengan cara menghayati nilai-nilai moral, keadilan, kebaikan, kasih sayang,
keramahan, sikap tidak sewenang-wenang lantaran nilai-nilai luhur tersebut telah terhakis dari dalam diri kebanyakan manusia moden kini seehingga ada yang
mengatakan seperti perkataan Qarun, ?Sesungguhnya aku dikurniai harta itu disebabkan ilmu yang ada padaku.? (AI-Qashash: 78)

Dan dia tidak mengatakan seperti apa yang dikatakan oleh Nabi Sulaiman ketika menerima singgahsana Ratu Balqis:

?Ini termasuk kurniaan Tuhanku untuk mengujiku, apakah aku bersyukur atau mengingkari (nikmat-Nya). Dan barangsiapa yang bersyukur maka sesungguhnya dia
bersyukur untuk dirinya sendiri. Dan barangsiapa yang ingkar maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya dan Maha Mulia.?
(An-Naml : 40)

Tambah beliau lagi dalam krisis yang kelihatannya masih tiada penghujungnya, maka Islam dengan kermurnian akidahnya, kesempurnaan syariatnya serta keseimbangan
tuntutan moralnya, menyediakan penyelesaian terbaik kepada umat manusia dalam menghadapi pelbagai persoalan alam sekitar terutama sekali melalui ajaran-ajarannya
yang terdiri dari pelbagai tuntutan, peraturan hukum serta bimbingan moral di mana semuanya ini didasari oleh keimanan kepada Allah s.w.t.

Sebagai penutup beliau sempat membingkiskan bahawa sebaik-baik umat manusia itu ialah mereka yang dapat mengambil manfaat dari ajaran-ajaran Islam tersebut
dalam interaksinya dengan alam sekitar sebab hidayah Islam merupakan hidayah bagi seluruh umat manusia. Firman Allah s.w.t. dalam al Quran:

?Hai Ahli Kitab, sesungguhnya telah datang kepadamu utusan Kami menjelaskan kepadamu banyak dari isi al-Kitab yang kamu sembunyikan, dan banyak (pula yang)
dibiarkannya. Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah dan kitab yang menerangkannya. Dengan kitab itulah, Allah menunjukkan orang-orang yang
mengikuti keredhaan-Nya ke jalan keselamatan dan (dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari gelap gelita kepada cahaya yang terang
benderang dengan izin-Nya dan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.?
(AI-Ma'idah: 15 - 16)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home